Apakah kandungan web Islami kesukaan anda?

Ke Arah Menjadi Muslim Sejati: Mana Sumbangan Kita Hari Ini?

"Terima kasih ya, nanti makcik cuba buat."

Saya hanya mampu tersenyum. Ini pesakit kedua pada hari ini yang baru menerima nasihat tentang tatacara solat pesakit.Semoga Allah merahmati pesakit tersebut.

Tapi dalam hati, saya terasa sesal.

Sesal kerana kenapa baru sekarang saya tersedar tentang kewajiban untuk mengingatkan para pesakit tentang solat fardhu. Mereka bukan malas, tetapi sebenarnya tidak tahu bahawa ketika uzur pun wajib tunaikan solat mengikut kemampuan. Tidak juga saya sangka sebenarnya tidaklah susah mana untuk menyakinkan mereka untuk menerima nasihat tersebut, walaupun saya akui memang ia berbunyi asing bagi mereka yang baru belajar tentang rukhsah ibadah bagi pesakit.

Alhamdulillah, sungguhpun begitu, mereka yakin dengan penjelasan saya -yang bukan faqih ini-, yang sekadar berkongsi ilmu saja sebenarnya. Apapun, bukan saya yang memberi hidayah, tetapi Allah azza wajal.

Kejadian tersebut mengetuk pintu hati saya, sekaligus menyebabkan saya terfikir, "apa sumbangan saya untuk umat Islam pada hari ini?"

Ya, anda pun perlu berfikir tentang hal yang sama. Kitakan umat Islam, yang diberi amanah di muka bumi ini untuk memperjuangkan agama. Alangkah ruginya kita jika gagal untuk meluangkan masa dan tenaga walaupun sedikit untuk berbakti kepada Islam setiap hari, baik dengan lisan mahupun perbuatan.

Sekurang-kurangnya dalam sehari, sebarkanlah hadith walaupun sepotong. Atau bersedekah walaupun seringgit. Atau membersihkan jalanan walaupun dengan hanya mengutip sampah. Atau apa saja perbuatan yang bermanfaat. Asalkan ia amal yang baik dan diniatkan kerana Allah, ianya akan memberikan imej positif kepada Islam baik secara langsung ataupun tidak.

Biarpun amal yang sedikit, tapi jika diniatkan kerana Allah, pasti ianya termasuk amal soleh insyaAllah. Apatah lagi jika kita lakukannya dengan banyak? Fikir-fikirkanlah.

Projek Laman Web Islami: Anda Berminat?

Assalamua'alaikum.

Baru-baru ini timbul idea untuk menerbitkan laman web Islami. Saya berminat untuk mencari sesiapa yang berminat untuk sama-sama menjayakannya.

Saya ingin mengajak sesiapa yang berminat, ingin menyumbang atau berpengalaman dalam:
  1. Reka-bentuk laman web
  2. Animasi Flash
  3. Moderator forum diskusi
  4. Menulis artikel dan cerpen
  5. Programming dan networking
Setakat ini baru ada seorang sahaja, beliau bertanggungjawab untuk reka-bentuk laman web (sedang dalam proses pembinaan).

Harapan saya ialah laman web ini nanti akan bersifat neutral, teliti dan adil dalam memberikan informasi. Ia bukanlah tempat luahan isu politik, berperang pendapat atau mencetus kontroversi. Ia berteraskan ajakan kepada mentaati Allah dan RasulNya, bukannya medan emosi. Saya harap hal ini jelas difahami bagi sesiapa yang berminat.

Individu yang berminat boleh menghantar emel kepada saya (hairi_m@hotmail.com), atau klik sahaja tab 'kontactme' di sidebar sebelah kanan ini. Boleh berikan nombor telefon anda untuk mudah saya hubungi.

InsyaAllah ini merupakan satu lagi projek untuk menyebarkan jaringan dakwah di dunia siber yang kian dianyak hebat oleh budaya-budaya perosak. Ada juga kami memikirkan beberapa konsep baru dan segar untuk laman web ini, tapi saya tak mahu cerita di sini kerana masih terlalu awal dan belum lagi pasti projek ini jadi atau tidak. Jangkaan saya, ia akan diterbitkan paling awal pun sekitar 4-5 bulan daripada sekarang.

Saya berharap juga para penyumbang tenaga akan dapat menjana pendapatan daripada laman web ini sebagai insentif, insyaAllah. Walaupun begitu, harapan utama saya ialah majoriti keuntungan laman web ini kelak akan disalurkan kepada Palestin dan orang-orang yang memerlukan.

Oh ya, jika anda ada apa-apa idea yang ingin diceritakan kepada saya, jangan segan-segan ya. Mudah-mudahan idea anda itu akan menjadi sesuatu yang cukup berguna untuk kami kelak. Segala masalah atau ada yang tidak jelas, bolehlah anda bincangkan di sini atau terus hubungi saya melalui emel.

Semoga Allah menjayakan perancangan ini. Kepada Allah kita berserah.

Jujurlah Dalam Bekerja

Apa makna jujur?

Ikhlas. Tidak mengharapkan balasan. Niat suci kerana ingin mencari keredhaan Allah. Ini semua mungkin antara jawapan yang diberikan. Saya kira jawapan ini semua benar. Tentu ramai orang faham apa maksud jujur.

Tapi saya pernah dengar cerita tentang orang yang masuk kerja lewat, tetapi balik awal. Peliknya gajinya masih sama sahaja setiap masa. Sebabnya? Majikannya tidak tahu akan tabiat kerjanya itu.

Ada juga yang ber'facebook' semasa bekerja. Atau keluar minum pada bukan waktu rehat. Atau banyak berehat di tempat kerja daripada bersungguh-sungguh melakukan kerja yang diminta. Ini semua merupakan sikap yang tidak jujur juga.

Pendek kata, apa saja tindakan yang tidak termasuk dalam skop tugas seseorang, tetapi dilakukan semasa waktu bekerja, cukuplah untuk dikatakan sebagai satu perbuatan yang tidak jujur. Jangan kita lupa, pekerjaan adalah amanah yang diberikan kepada seseorang daripada majikannya, jadi ianya mestilah dilaksanakan sebaik mungkin. Cuba renungi sabda Rasulullah s.a.w:


"Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada engkau, dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati engkau" (Hadith Sahih: Abu Daud dan Tirmizi)


Mungkin seseorang boleh menipu majikan atau ketuanya, tapi dia sama sekali tidak boleh menipu Allah s.w.t.

Adakah pendapatan yang diperolehi dengan cara seperti ini benar-benar bersih? Wallahu a'lam. Apa yang pasti, wang gaji inilah yang akan digunakan untuk menyara makan suap keluarganya.

Fikir-fikirkan tentang cara kita bekerja. Lakukanlah kerja yang ditugaskan sepertimana yang telah diminta dengan hati yang sentiasa inginkan keredhaan Allah, di samping berasa takut pula akan kemurkaanNya.

Memperkenalkan Dua Kategori Baru: Apa Pendapat Anda?

Assalaamu a'alaikum.

Alhamdulillah, setakat ini saya kira sudah ada 30 entri berbentuk artikel yang berjaya diterbitkan di sini. Tiada kekuatan bagi diri saya ini melainkan apa yang diberikan oleh Allah ta'ala.

Saya bercadang untuk menambah dua kategori baru, tapi saya berminat untuk tahu apakah ianya sesuatu yang menarik ataupun tidak. Dua kategori tersebut ialah:
  1. Ulasan Buku
  2. Biografi Tokoh
Saya berasa terpanggil untuk menulis tentang dua perkara ini kerana, pertamanya saya ada begitu banyak koleksi buku  yang boleh kita diskusikan bersama. Tentang biografi tokoh pula, saya berasa memang penting untuk kita mengenali cara hidup dan pencapaian tokoh-tokoh hebat dalam sejarah, baik mereka muslim ataupun tidak. Tujuannya supaya dapat memotivasikan diri kita untuk berusaha di samping kita boleh cuba untuk mengamalkan contoh-contoh baik yang ditunjukkan mereka.

Apa pendapat anda? Segala komen anda saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. Jazakumullahu khairan kathira!

Wassalam.

Kita Semua Hanyalah Hamba


Apa tujuan kita hidup?

Inilah persoalan besar yang telah cuba dirungkaikan oleh umat manusia dari zaman berzaman.

Macam-macam teori timbul. Daripada teori kejadian spontan alam semesta dan kehidupan sepertimana yang dipelopori oleh para saintis berfahaman atheist, sehinggalah kepada teori untuk mencapai kemuncak ketuhanan seperti yang diajar dalam sesetengah agama.

Islam, agama yang kita cintai, mengatakan: hidup ini hanya untuk Allah:

"Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam" (Al-An'am: 162) 

Tapi saya tak faham.

Hairan sekali kenapa kita semua tidak nampak pula seperti golongan hamba? Maksud saya, bukankah seorang hamba perlu sentiasa tunduk dan patuh kepada tuannya? Ikut segala perintah, jauhi segala larangan. Berhati-hati dengan tindak-tanduk dan kata-katanya setiap ketika. Mudah kata, seorang hamba itu tidak bebas, dia terikat dengan undang-undang dan batasan. 

Lawan bagi hamba ialah orang merdeka. Apa yang kelihatan di kalangan sesetengah manusia ialah seolah-olah seperti mereka semua orang merdeka, yang bebas berbuat sesuka hati kita tanpa mengendahkan perintah 'tuan', iaitu Allah azza wajal.

Mungkinkah syaitan sudah ketawa besar sekarang?

Jika benar kita hamba Allah, apakah kita sedang mendemonstrasikannya setiap ketika? Cuba fikirkan, apa yang pernah kita lakukan, apa pula yang sedang kita sedang lakukan, apakah memang benar kita sedang bertindak seperti seorang hamba kepada Tuhan yang Maha Mengawasi? Apakah kita punyai bukti? Selalukah kita terfikir akan kesudahan nasib kita di akhirat nanti?

Jika belum, sekarang masih belum terlambat. Awas dengan tipu-daya dunia dan nafsu yang cukup licik. Gunakan senjata doa, beserta iman dan ketaqwaan yang utuh, inilah benteng dan motivasi yang kuat untuk kita dapat menjadi hambaNya yang soleh. Ya, saya tahu kita memang faham akan hal ini, tapi alangkah besarnya kesilapan kita kerana selalu ambil mudah tentangnya.

Saya mendoakan keampunan dan keselamatan kepada saya dan anda, dunia dan akhirat. Kepada Allah kita memohon hidayah.